Tuesday 30 August 2016

Cucur Bawang Oat

As Salam,

Renyai-renyai hujan ditemani alunan zikir terapi diri oleh Hafiz Hamidun membuat hati merasa nyaman dan tenang. Syukur alhamdulillah. 

Santapan pagi bersama cucur bawang oat juga memberi impak positif dalam jiwa nampaknya walaupun sejak kandungan masuk 6 bulan ni, Nazra ada mengalami sakit pada bahagian pinggul. Susahnya rasa bila setiap kali untuk duduk dan bangun. Bertabahlah hati, kerana bukan senang untuk menjadi seorang mummy... Doa Nazra setiap hari agar Nazra dan kandungan diberi keselamatan dan kesihatan yang baik selamanya... Aamiin...


Hari ini, Nazra kongsikan resepi cucur bawang oat. Oat sebenarnya sangat baik untuk di konsumi oleh sesiapa sahaja dan sangat berkhasiat untuk ibu mengandung. 

Antara khasiat yang terdapat dalam oat terutamanya untuk ibu mengandung termasuklah sumber zat besi dan asid folik, pengawalan berat badan (obesiti), mencegah diabetes, serta mencegah masalah sembelit.

1.  Sumber Zat Besi

Zat besi yang terkandung di dalam oat bermanfaat untuk pembentukan sel darah merah, bagi mengelakkan ibu mengandung menghidapi Anemia dan kadar hemoglobin yang rendah. Zat besi juga bermanfaat untuk menjaga kesihatan kulit, rambut dan kuku ibu mengandung.

2.  Sumber Asid Folik

Oat mengandungi nutrisi Asid Folik bagi membantu perkembangan otak janin dan dapat mengurangi risiko kelahiran bayi cacat, kekurangan berat badan dan prematur.

3.  Pengawalan Berat Badan (Obesiti)

Ibu mengandung yang mengalami masalah berat badan sewaktu mengandung digalakkan untuk mengkonsumi oat bagi mengelakkan obesiti. Oat mengandungi karbohidrat kompleks, yang menyebabkan cepat merasa kenyang.


4.  Mencegah Diabetes

Ibu mengandung yang disahkan menghidapi diabetes digalakkan mengkonsumi oat kerana kandungan di dalamnya yang mengandungi Magnesium. Apakah fungsi Magnesium? Ia sebenarnya merupakan pengatur insulin dan glukosa sehingga dapat mengurangi risiko diabetes pada ibu mengandung.

5.  Mencegah Masalah Sembelit

Ibu mengandung sering terdedah dengan masalah pencernaan. Pengambilan oat dapat membantu melancarkan sistem penghadaman seterusnya mencegah masalah sembelit kerana kandungan serta larut yang terdapat dalam oat itu sendiri.

Sumber : 
http://www.myparentrewards.com/quaker-oat-untuk-ibu-hamil/
http://www.norazizah.com/2016/04/khasiat-oat-untuk-ibu-mengandung-hamil.html


Nampakkan? Banyaknya khasiat yang terkandung di dalam oat. Ia jika dimakan begitu sahaja, memang rasanya agak tawar, disebabkan itulah kita perlu kreatif untuk menjadikannya sedap untuk dimakan... Oat boleh dibuat sup (jika pandai mengolahnya, sup yang terhasil memang sangat sedap seperti makan sup di Pizza Hut aje rasanya...hihi...) dan boleh dibuat pelbagai juadah, contohnya seperti cucur bawang oat seperti di bawah.


CUCUR BAWANG OAT

Bahan-Bahan:

  • 1 ulas bawang besar - hiris halus
  • 1 helai daun sawi - hiris halus
  • 5 sudu besar oat
  • 4 sudu besar tepung jagung
  • 1/2 sudu besar minyak jagung / minyak masak
  • 1 biji telur
  • 3/4 cawan air - mengikut kesesuaian batter 
  • secubit serbuk kunyit
  • secubit garam
  • secubit gula
Cara:
  • Hiris halus bawang besar dan daun sawi. Satukan ke dalam satu bekas.
  • Masukkan telur, minyak jagung / minyak masak dan sedikit air. Tambahkan secubit serbuk kunyit, garam & gula. Kacau sebati.
  • Campurkan oat dan tepung gandum.
  • Gaul sebati hingga membentuk batter yang tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat.
  • Rasa sama ada garam dan gula yang dimasukkan tadi sesedap rasa atau tidak. 
  • Jika rasa telah sedap, bolehlah di sudukan ke dalam minyak yang banyak untuk digoreng. Guna api sederhana perlahan.
  • Terbalikkan jika bahagian belakang telah berwarna kekuningan.
  • Kemudian bolehlah di angkat dan dihidang.
SELAMAT MENCUBA!!! Terima kasih kerana sudi membaca entri Nazra kali ini :-)

No comments:

Post a Comment